Beratur panjang di klia2 kes terpencil, kata MAHB


Gangguan kaunter imigresen di klia2 semalam mencetuskan kemarahan AirAsia dan AirAsiaX, MAHB hari ini berkata ia kes terpencil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2019.

SITUASI barisan terlalu panjang di kaunter imigresen klia2 semalam adalah kejadian terpencil, kata Malaysia Airports Holdings Bhd susulan rungutan dibuat AirAsia dan AirAsia X.

Barisan panjang itu menyebabkan penumpang terpaksa menunggu hampir dua jam, mencetuskan kemarahan syarikat penerbangan murah itu dan para penumpang.

Pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia adalah kejadian terpencil dan kebenaran imigresen di klia2 hanya mengambil masa purata 10 minit untuk setiap penumpang.

Berdasarkan pemerhatiannya, MAHB menjelaskan, penggunaan kaunter imigresen berada pada tahap 70% ketika situasi luar biasa itu berlaku.

Ketua Pegawai Operasi MAHB Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata ia sudah menghubungi imigresen untuk menyatakan kebimbangan itu dan bekerja sama rapat dengan jabatan itu untuk menghalang kejadian sama daripada berulang.

“Kami mengakui wujud kekangan tertentu dihadapi imigresen dan ketika mereka berusaha meningkatkan sumber, lapangan terbang akan mencari jalan meningkatkan pengalaman penumpang dengan mengurangkan kesesakan di kawasan itu,” katanya.

Antara rancangan adalah memindahkan emporium Eraman di klia2 untuk membolehkan peluasan dan penyusunan semula kawasan imigresen,” katanya.

Usaha itu sedang dilakukan dan MAHB sedang berusaha mempercepatkannya, tambahnya.

“Langkah ini bersama-sama dengan kerjasama Jabatan Imigresen untuk membuka semua kaunter, terutama di waktu puncak, akan meningkatkan masa pemprosesan.”

Semalam, AirAsia berkata situasi itu memalukan kerana barisan panjang di kaunter imigresen hanya menggambarkan ketidakcekapan dan perkhidmatan pelanggan yang lemah. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen