KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan aspek keselamatan sistem dan data portal rasmi Program Subsidi Petrol selepas maklumat bank penerima bocor.
Kementerian itu menerusi kenyataan semalam berkata beberapa langkah proaktif telah diambil untuk melindungi data penerima.
“Merujuk kepada isu teknikal yang dibangkitkan terhadap portal rasmi Program Subsidi Petrol (PSP) di https://psp.kpdnhep.gov.my, kementerian telah mengambil tindakan segera untuk menangani isu itu.
“Pihak Kementerian memandang serius akan aspek integriti dan keselamatan data peribadi penerima PSP dan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi melindungi data-data tersebut,” kata kementerian.
“Pada jam 1.00 petang hari ini (17hb. Oktober, 2019), isu teknikal itu telah diatasi dan Portal PSP telah diaktifkan semula dengan aspek keselamatan sistem dan data telah dipertingkatkan,” kata kementerian.
Satu laman web semalam mendedahkan pengguna yang mengakses portal PSP boleh melihat nombor akaun bank setiap penerima.
Laman web itu juga menguju beberapa nombor MyKad secara rambang dan memperoleh nombor akaun penerima yang layak.
Susulan itu, kementerian menghentikan sementara portal PSP yang baru dilancarkan itu.
Portal tersebut boleh diaktifkan semula semalam bagi membolehkan pengguna menyemak sama ada mereka layak menerima subsidi petrol yang diumukan dalam Belanjawan 2020. – 18 Oktober, 2019.
Komen