Polis Belanda tahan lelaki sembunyi keluarga hampir sedekad


Keluarga itu disembunyikan selama hampir sedekad di sebuah rumah ladang di Ruinerwold, dipercayai ada kaitan dengan kepercayaan tertentu. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2019.

POLIS Belanda semalam menahan seorang lelaki yang sembunyikan keluarganya selama hampir sedekad di sebuah rumah ladang di Ruinerwold, dipercayai ada kaitan dengan kepercayaan tertentu.

Lelaki berusia 67 tahun itu ditahan atas dakwaan menyekat kebebasan dan membahayakan kesihatan orang lain serta pengubahan wang haram, kata polis.

Menurut polis, lelaki itu adalah suspek kedua yang ditahan. Terdahulu, polis menahan seorang lelaki Austria berusia 58 tahun yang menyewa di rumah ladang itu semalam dan hakim mengarahkan suspek ditahan selama dua minggu.

“Kami sedang menyiasat kes yang luar biasa. Mereka ini mungkin tinggal di dalam rumah itu sejak 2010, jauh dari masyarakat,” kata polis dalam satu kenyataan.

Tambah polis, keluarga yang ditemui di dalam rumah itu mendakwa lelaki kedua yang ditahan itu adalah bapa mereka manakala enam yang lain adalah anak-anaknya. Kes ini terbongkar selepas salah seorang dari enam “anak” itu berjaya melarikan diri ke sebuah pub berdekatan.

“Kami percaya enam individu yang terlibat dipaksa tinggal di rumah itu. Kami sedang siasat sama ada ia ada kaitan dengan kepercayaan tertentu,” kata kenyataan polis.

“Kes ini perlu dikendalikan dengan penuh hati-hati.” – AFP, 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen