CALIFORNIA semalam melancarkan sistem amaran gempa bumi pertama negara itu dengan harapan dapat memberikan amaran kepada penduduk dalam tempoh beberapa saat bencana berlaku membolehkan mereka mencari perlindungan.
Aplikasi itu direka oleh Universiti California, Berkeley dan dilancarkan pada ulang tahun ke-30 gempa bumi besar Loma Prieta, menggunakan sistem pengesan tanah seluruh negeri untuk mengesan permulaan gempa bumi sebelum manusia merasainya.
“Tidak ada yang lebih penting daripada merancang untuk berdepan gempa bumi dan kecemasan lain,” kata Gabenor Gavin Newsom ketika melancarkan sistem itu.
“Dan kita tahu ‘Big One’ boleh berlaku bila-bila masa. Saya galakkan semua penduduk California memuat turun aplikasi ini dan memastikan keluarga bersiap sedia berdepan gempa bumi.”
Aplikasi telefon pintar digelar MyShake itu berpotensi menyelamatkan nyawa apabila boleh memberi amaran sebelum tanah bergoyang memberikan masa mencukupi untuk penduduk berlindung daripada kecederaan.
Aplikasi baharu itu diuji minggu ini sebelum pelancaran apabila dua gempa bumi melanda kawasan San Francisco dan tengah California berukuran 4.5 dan 4.7 setiap satu.
Penduduk yang mempunyai aplikasi itu diberi amaran tempoh masa purata 2.1 saat dalam kes pertama dan 1.6 saat dalam kes kedua.
Newsom berkata sistem itu masih belum sempurna tetapi akan ditambah baik.
Pegawai bagaimanapun memberi amaran yang pengguna mungkin menerima amaran kecemasan palsu walaupun tiada gempa bumi berlaku.
Pakar gempa berkata California berdepan risiko gempa bumi besar, dikenali sebagai “Big One” kerana ia terletak dalam jaringan gempa paling bahaya di AS- plat San Andreas. – AFP, 18 Oktober, 2019.
Komen