TIGA perompak bersenjata menyerbu lapangan terbang di Brazil dan melarikan wang tunai dari sebuah trak perisai pada Khamis, kata pihak berkuasa.
Bagaimanapun, ketiga-tiga perompak berjaya ditembak mati di terminal kargo Lapangan Terbang Viracopos yang terletak kira-kira 100km dari Sao Paolo, pada jam 10 pagi waktu tempatan, kata jurucakap polis.
Perompak melarikan wang tunai dari dari trak perisai milik syarikat keselamatan AS, Brink’s.
Dua daripada mereka mati ketika berbalas tembakan dengan polis di lapangan terbang, manakala seorang lagi mati di kawasan perumahan berdekatan.
Polis berkata insiden itu menyebabkan semua penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 20 minit.
Menurut laporan laman web berita G1, perompak yang melarikan diri ke kawasan perumahan itu menahan seorang wanita dan bayinya sebagai tebusan sebelum ditembak penembak tepat.
Laporan G1 berkata polis tidak dapat memastikan jumlah sebenar perompak yang terlibat dalam insiden itu. Pengendali lapangan terbang memberitahu G1 perompak masuk ke terminal kargo dengan menaiki dua trak pikap menyerupai trak yang digunakan kakitangan mereka. – AFP, 18 Oktober, 2019.
Komen