EU lulus Brexit, gesa wakil rakyat British luluskan perjanjian pisah


Perdana Menteri Boris Johnson berdepan cabaran besar menyakinkan Parlimen British supaya menyokong perjanjian Brexit yang sudah diluluskan Majlis Eropah. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2019.

PEMIMPIN Kesatuan Eropah meluluskan perjanjian Brexit dengan Britain semalam, tetapi Perdana Menteri Boris Johnson berdepan cabaran besar untuk mendapat kelulusan Parlimen British.

“Nampaknya kita hampir sampai jalan penamat,” kata Presiden Majlis EU Donald Tusk kepada wartawan selepas 27 pemimpin meluluskan perjanjian itu.

Walaupun Johnson optimis, parti pembangkang British dan sebilangan sekutunya sendiri dalam Dewan segera memberi amaran yang mereka tidak akan menyokongnya jika ia terpaksa melalui pengundian sidang khas pada Sabtu.

Jika usul itu ditolak, perdana menteri bertanggungjawab di bawah undang-undang British untuk meminta pemimpin EU menangguhkan Brexit buat kali ketiga- melanggar janjinya untuk membawa British keluar pada 31 Oktober.

Tusk berkata sekiranya ia berlaku, beliau akan berunding dengan ahli majlis tentang tindakan seterusnya.

Johnson bertegas yang beliau “sangat yakin” wakil rakyat British akan menyokong perjanjian itu, tetapi reaksi segera daripada pembangkang dan pakatannya sendiri tidak berapa baik.

Johnson, pemimpin kempen “leave” pada 2016 berikrar untuk meninggalkan EU pada hujung bulan ini, dan menggesa wakil rakyat “bersama-sama melaksanakan Brexit, untuk mengesahkan perjanjian hebat ini dan melaksanakan Brexit tanpa penangguhan lagi.”

Perjanjian dicapai Khamis lepas adalah kejayaan peribadi untuk Johnson, yang berulang kali diberitahu pemimpin EU lain yang mereka tidak mahu melakukan semula rundingan perjanjian yang ditandatangani tahun lepas. – AFP, 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen