LEBIH 32,500 guru dan kakitangan sekolah di Chicago mogok pada Khamis, menyebabkan kelas bagi 300,000 murid dibatalkan.
Guru yang mogok berkata mereka mahu lebih ramai pekerja sosial, jururawat dan pustakawan ditempatkan di sekolah untuk murid. Selain itu, mereka menuntut kontrak tiga tahun berbanding kontrak lima tahun yang sedia ada.
Datuk Bandar Chicago Lori Lightfoot berkata beliau kecewa dengan tindakan Persatuan Guru-Guru Chicago melancarkan mogok walaupun guru-guru ditawarkan “pakej bersejarah”.
Persatuan bertindak demikian selepas rundingan dengan pegawai-pegawai datuk bandar hampir sebulan gagal memenuhi tuntutan mereka.
Seorang guru di South Side berkata sekolah memerlukan seorang jururawat pada setiap hari persekolahan.
“Semua sekolah perlu ada seorang jururawat lima hari dalam seminggu.
“Jika tidak ia akan membahayakan murid yang menghidap asma dan penyakit lain,” kata guru yang enggan namanya didedahkan.
Bagi Kathe Myers pula, yang sudah 24 tahun mengajar, berkata kebanyakan guru tiada kepakaran untuk menggalas tanggungjawab lain selain daripada mengajar.
“Anak-anak kita mengalami trauma. Semua orang tahu bandar ini banyak berlaku keganasan. Jadi, semua unsur keganasan dibawa masuk ke sekolah dan kami cuba menanganinya. Masalahnya, kami bukan pakar dalam bidang ini,” katanya.
“Hendak tangani masalah itu sambil mengajar murid, itu hampir mustahil.”
Guru-guru juga berkata mereka tidak mempunyai cukup masa untuk menyediakan rancangan pengajaran, menanda kertas peperiksaan dan kerja rumah serta pada masa yang sama melakukan kerja-kerja pentadbiran. – AFP, 18 Oktober, 2019.
Komen