Rakyat Lubnan bantah cukai panggilan aplikasi


Lubnan merancang mengenakan cukai untuk panggilan telefon menggunakan aplikasi internet seperti WhatsApp. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2019.

RATUSAN orang turun ke jalanan seluruh Lubnan semalam untuk membantah keputusan kerajaan mengenakan cukai ke atas panggilan yang dibuat dalam aplikasi mesej dalam keadaan ekonomi negara itu bertambah buruk.

Demonstrasi besar-besaran itu memaksa kerajaan membatalkan keputusan meluluskan cukai itu semalam, kata Menteri Telekomunikasi Mohammad Choucair.

Demonstrasi tercetus di bandar-bandar utama negara itu seperti Beirut, Sidon, Tripoli dan Lembah Bekaa, lapor agensi berita NNA negara itu

Di seluruh negara, penunjuk perasaan melaungkan slogan yang digunakan ketika protes Arab Spring 2011: “Rakyat menuntut kejatuhan rejim.”

Penunjuk perasaan di ibu kota menyekat jalan ke lapangan terbang dengan membakar tayar, sementara ramai juga berhimpun berhampiran bangunan Kementerian Dalam Negeri di tengah Beirut, lapor NNA.

“Kami pilih mereka dan kami akan singkirkan mereka daripada kuasa,” kata seorang penunjuk perasaan kepada stesyen TV tempatan.

Kemarahan awam mula timbul sejak Parlimen meluluskan belanjawan penjimatan pada Julai untuk mengurangkan defisit kewangan negara itu yang terlalu tinggi.

Situasi bertambah buruk bulan lepas selepas bank dan pusat tukaran wang mencatu jualan dolar, mencetuskan kebimbangan kejatuhan nilai mata wang.

Kerajaan sedang melaksana beberapa tindakan penjimatan untuk menyelamatkan ekonomi negara itu daripada terus lumpuh dan berjaya mendapatkan janji bantuan AS$11 bilion daripada penderma antarabangsa tahun lepas.

Ia dijangka mengumumkan tambahan kenaikan cukai dalam beberapa bulan lagi untuk belanjawan tahun depan.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan kenaikan cukai produk tembakau.

Ia kemudian mengumumkan cukai 20 sen sehari untuk pengguna aplikasi mesej yang membuat panggilan di platform seperti WhatsApp dan Viber, sebelum ia dibatalkan kerana bantahan rakyat.

Katanya kepada wartawan selepas keputusan Kabinet, ia boleh menjana pendapatan AS$20 juta setahun untuk kerajaan.

Kumpulan hak digital Lubnan, SMEX, berkata pengendali telekomunikasi negara itu sudah dalam usaha memperkenalkan teknologi baharu yang membolehkan mereka mengesan sama ada pengguna membuat panggilan internet menerusi telefon mereka.

“Lubnan sudahpun mempunyai harga telefon antara termahal di rantau ini,” kata SMEX di Twitter.

Dasar baharu itu “akan memaksa pengguna membayar khidmat internet sebanyak dua kali,” tambahnya.

Hutang awam Lubnan mencecah AS$86 bilion- 150% lebih tinggi daripada KDNK negara itu- menurut Kementerian Kewangan.

80% adalah hutang di bank pusat Lubnan dan bank tempatan. – AFP, 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen