GERGASI teknologi China Huawei pada Rabu mengalu-alukan langkah Kerajaan Jerman mewujudkan tahap yang boleh diteroka oleh vendor rangkaian 5G, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut laporan media Jerman, Berlin pada Selasa mengeluarkan peraturan mengenai operasi dan pembangunan rangkaian telekomunikasi secara selamat serta tidak mengharamkan Huawei, peneraju penyedia peralatan teknologi telekomunikasi.
Langkah Berlin itu dilihat menjadi tamparan hebat terhadap Amerika Syarikat yang mahukan semua sekutunya mengetepikan Huawei daripada rangkaian telekomunikasi masa depan itu.
Tanpa membentangkan sebarang bukti salah laku Huawei, Amerika mengancam semua sekutunya untuk mengurangkan perkongsian maklumat periskkan andai mereka membenarkan Huawei beroperasi.
Bagaimanapun, perkembangan pada Selasa di negara yang dianggap ekonomi terbesar Eropah, menunjukkan tekanan Washington itu tidak berhasil.
Huawei dalam satu kenyataan memuji langkah Berlin yang disifatkan sebagai pendekatan yang berasaskan fakta dan piawaian sambil menegaskan, ia menjadi teladan penting bagi menangani cabaran keselamatan siber global.
“Mempolitikkan isu keselamatan siber hanya akan membantutkan pembangunan teknologi dan kemajuan sosial dan dalam masa sama gagal menangani cabaran keselamatan yang dihadapi oleh semua negara,” menurut kenyataan itu.
Gergasi teknologi China berbangga dengan rekod tahap keselamatan tinggi sejak lebih 30 tahun dan bekerjasama dengan 45 daripada 50 syarikat telekomunikasi utama dunia sejak bertahun-tahun.
“Sebagai anggota pelbagai pertubuhan piawaian 5G global, Huawei sudah terbabit dalam rangkaian keselamatan 5G sejak awal dan memastikan aspek keselamatan siber terangkum dalam semua pembangunan rangkaian dan amalan perkhidmatannya,” kata kenyataan itu. – Bernama, 17 Oktober, 2019.
Komen