AS gesa gencatan senjata di Syria


Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence (kiri) mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Ankara.– Gambar EPA, 17 Oktober, 2019.

NAIB Presiden Amerika Syarikat Mike Pence mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bagi mendesak gencatan senjata di Syria selepas Ankara tidak mengendahkan tekanan antarabangsa untuk menghentikan serangan ke atas Kurdish.

Pertemuan itu dibuat sehari selepas Erdogan berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan Turki, yang dibantu oleh pengunduran tenetra AS dari utara Syria yang menyebabkan ratusan nyawa terkorban dan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Menjelang pertemuan itu, satu surat luar biasa daripada Presiden AS Donald Trump muncul yang mana beliau memberi amaran kepada Erdogan: “Jangan jadi bodoh.”

Pence diiringi oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dan beberapa lagi pegawai lain.

Beberapa hari selepas pengunduran tentera AS, tentera Turki dan proksi pemberontak Syria mula menguasai Ras al-Ain, yang merupakan bandar sempadan yang menjadi kubu Kurdish, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Tentera Turki dan sekutunya menguasai separuh daripada bandar itu pada Khamis, kata ketua pemerhati Rami Abdel Rahman.

Menurut kumpulan pemerhati itu, lebih 30,000 orang awam hilang tempat tinggal di Syria sejak serangan itu bermula. – AFP, 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen