Kurdish gesa orang awam keluar dari zon konflik


Orang awam dipindahkan keluar dari bandar sempadan Ras al-Ain susulan serangan daripada tentera Turki.– Gambar EPA, 17 Oktober, 2019

PIHAK berkuasa Kurdish di timur laut Syria menggesa pemindahan orang awam dari bandar sempadan yang dikepung oleh tentera Ankara, ketika Turki melancarkan serangan yang memasuki hari ke sembilan.

Tentera Turki dan proksi Syria mengepung sepenuhnya Ras al-Ain, iaitu bandar sempadan yang dipertahankan pejuang Kurdish.

“Ia merupakan kemaraan pertama tentera Turki ke dalam bandar ini, susulan daripada penentangan oleh pasukan demokratik Syria (SDF),” kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

Diserang secara besar-besaran oleh tentera Turki dan pasukan tentera udaranya, pentadbiran Kurdish berikrar untuk membenarkan orang awam meninggalkan bandar yang disasar Turki untuk ditawan.

Ia turut menggesa “campur tangan untuk membuka koridor keselamatan kemanusiaan bagi memindahkan orang awam yang cedera dan terbunuh di Ras al-Ain”.

Proksi Ankara di Syria—kebanyakannya bekas pemberontak yang dijadikan sebagai pasukan serangan darat—menyerang hospital di bandar itu pada khamis, menyebabkan pesakit dan kakitangannya terperangkap di dalamnya, kata kumpulan pemerhati itu. 

Bagaimanapun tahap kerosakan dalam serangan itu masih belum dapat dipastikan.

Serangan itu berlaku ketika keganasan sedang tercetus dalam bandar berkenaan, menurut pemerhati pemberontak.

“Pertempuran ketika itu sedang memuncak,” kata komander pemberontak Abu Imran al-Homsi. 

“Kita telah mengepung (Ras al-Ain) dari semua bahagian dan memotong bekalan elektrik.” – AFP, 17 Oktober, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen