PRESIDEN Donald Trump mengecam liga bola sepak NFL sekali lagi hari ini kerana tidak memaksa pemainnya berdiri ketika lagu kebangsaan Amerika Syarikat dimainkan.
Trump dalam satu tweet pagi ini berkata: “NFL memutuskan untuk tidak memaksa pemain berdiri ketika lagu negara kita dimainkan. Sangat tidak menghormati negara kita!”
Tweet terbaru yang mengusutkan lagi kontroversi berkenaan lagu kebangsaan itu dibuat selepas pertemuan pemilik pasukan NFL dan wakil pemain di New York semalam.
Mesyuarat antara pemilik pasukan dan pemain berakhir tanpa sebarang persetujuan berkenaan isu itu, yang sedikit sebanyak menyebabkan peminat dan sukan itu sendiri terbahagi.
Satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu berkata “setiap orang yang menjadi sebahagian daripada komuniti NFL sangat menghormati negara kita, bendera, lagu kebangsaan dan pasukan tentera”.
Bekas pemain kelab San Francisco 49ers, Colin Kaepernick melancarkan protes pada 2016, enggan berdiri ketika lagu kebangsaan dimainkan untuk menarik perhatian kepada ketidakadilan kaum dan keganasan polis.
Protes itu sudah hampir dilupakan sehinggalah bulan lalu, apabila Trump mencetuskan kembali isu itu dengan berkata mana-mana pemain yang berlutut ketika lagu kebangsaan dimainkan patut dipecat.
Kenyataan Trump itu menimbulkan kekecohan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain NFL, pemilik pasukan dan pegawai liga, dengan pemain mengadakan protes ketika lagu kebangsaan dimainkan pada hujung minggu berikutnya.
Trump tetap mempertahankan kenyataannya yang kasar itu dengan mendesak NFL menggantung pemain yang kekal melutut ketika lagu kebangsaan dimainkan.
Dasar NFL pada masa ini menyatakan pemain “patut” berdiri untuk lagu kebangsaan tetapi tidak dengan jelas berkata ia sebagai mandatori. – AFP, 18 Oktober, 2017.
Komen