Kes hina Sultan Selangor, Najib ke Bukit Aman sebagai saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak akan ke Bukit Aman esok sebagai saksi, kata Shafee Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Oktober, 2019.

NAJIB Razak akan ke Bukit Aman esok sebagai saksi dalam siasatan polis berkaitan laman di Facebook yang dituduh menghina Sultan Selangor, kata Shafee Abdullah.

Shafee berkata bekas perdana menteri itu akan memberi keterangan sebagai “saksi” dan beliau tidak disiasat berkaitan kenyataan fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming.

“Beliau akan ke sana (Bukit Aman) kerana dijemput sebagai saksi,” katanya pada sidang media selepas perbicaraan 1MDB hari ini.

Shafee berkata polis masih belum memulakan siasatan ke atas Najib serta kenyataan dikeluarkan anak guamnya itu.

“Tak, tiada siasatan, belum lagi. Beliau dihendaki sebagai saksi sahaja,” katanya.

Polis turut memanggil Nga untuk diambil keterangan.

Pada 29 September lalu, satu kenyataan menghina Sultan Selangor dimuat naik ke laman “Nga Kor Ming Super Fans” di Facebook, didakwa meminta orang Cina mengadakan protes terhadap Sultan kerana menitahkan papan tanda jalan dwi bahasa di Selangor dibuang.

Nga bagaimanapun mendakwa beliau dan DAP tidak terlibat membuat kenyataan tersebut dan akaun Facebook itu palsu.

Bagaimanapun, Najib dalam kenyataan di akaun Facebooknya mendakwa Nga adalah dalang kenyataan menghina itu. – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen