Penunjuk perasaan sasar kereta api bawah tanah London 


Penunjuk perasaan Extinction Rebellion berhimpun di Trafalgar Square, London bagi membantah perubahan iklim.– Gambar EPA, 17 Oktober, 2019.

POLIS Britain berkata mereka menahan empat penunjuk perasaan perubahan iklim yang cuba menyekat kereta api bawah tanah London Underground pada waktu puncak. 

“Setakat ini empat tahanan dibuat dalam insiden di Stratford dan Canning Town di Jubilee Line,” kata polis pengangkutan Britain dalam satu kenyataan. 

Protes yang sama turut berlaku di Stesen Shadwell dan  Docklands Light Railway yang menyebabkan gangguan perkhidmatan pada waktu puncak ke pusat bandaraya.

Polis bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut namun video yang tersebar di media sosial memaparkan beberapa lelaki bertindak memanjat atas gerabak kereta api di Canning Town di Jubilee Line, yang menghubungkan barat laut dan timur London ke pusar bandaraya. 

Penumpang yang berang kemudian bertindak mengheret sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan daripada kereta api berkenaan ketika kakitangan stesen cuba campur tangan bagi mengelakkan keganasan. 

Kumpulan penunjuk perasaan Extinction Rebellion mengesahkan mereka yang terlibat adalah ahlinya dan menjalankan “gangguan tanpa keganasan” di dua stesen dan berlaku insiden keganasan terhadap penunjuk perasaan di Canning Town. – AFP, 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen