59 warga asing ditahan dalam Op Noda 


SERAMAI 59 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan menerusi Op Noda di dua buah pusat hiburan di Jalan Imbi di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata wanita yang ditahan dalam operasi bermula 12.10 tengah malam terdiri daripada 48 warga Thailand dan 11 warga Vietnam.

Katanya, turut ditahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dipercayai bekerja sebagai penjaga premis.

“Polis merampas barangan seperti mahkota, selempang, resit perniagaan dan wang tunai RM700 di dua premis yang diserbu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati sebuah premis yang diserbu memiliki lesen operasi yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut. – Bernama, 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen