KIRA-KIRA 200,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan jalanan di Barcelona selepas mahkamah mengarahkan dua pemimpin prokemerdekaan Catalonia ditahan.
Ia menambah lagi ketegangan di wilayah itu susulan pungutan suara yang tidak diiktiraf.
Sambil melaungkan “kebebasan” dan “kemerdekaan” serta membawa lilin, penunjuk perasaan berkumpul di jalan besar ibu kota itu waktu malam dan bertafakur.
Seorang jurucakap polis berkata kira-kira 200,000 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu.
Demonstrasi sambil menyalakan lilin turut diadakan di Girona, Reus dan bandar Catalonia lain sebagai membantah keputusan Mahkamah Kebangsaan berpusat di Madrid Isnin lalu yang memenjarakan Jordi Cuixart dan Jordi Sanchez sebelum siasatan bagi kesalahan menghasut diadakan.
Demonstrasi diadakan ketika waktu semakin suntuk buat pemimpin pemisah Catalonia, Carles Puigdemont memberi kata putus kepada Madrid pagi esok adakah beliau akan mengisytiharkan kemerdekaan wilayah itu. – AFP, 18 Oktober, 2017.
Komen