Ramasamy dipanggil polis kerana rencana kritik tembakan Batu Arang


Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy akan memberi keterangan berkaitan sebuah rencana tulisannya yang mengkritik polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2019.

SELEPAS berhari-hari spekulasi timbul, Bukit Aman memanggil Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy untuk memberi keterangan berkaitan sebuah rencana tulisannya yang mengkritik polis.

Panggilan itu sekaligus menghapuskan spekulasi beliau akan dipanggil kerana kaitannya dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Bekas ahli akademik itu memberi portal Free Malaysia Today yang beliau akan disoal siasat oleh polis minggu depan kerana rencana yang diterbitkan pada 16 September bertajuk “ New government but the same old police force”.

Rencana itu yang diterbitkan FMT dan Malaysiakini, mempersoalkan tindakan polis menembak mati tiga orang lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka di Batu Arang, Selangor pada 14 September.

Polis berkata mereka terpaksa melepaskan tembakan ke atas sebuah kereta membawa tiga penumpang- warga Sri Lanka Janarthanan Vijayarathnam, abang iparnya Thavaselvan dan Maghendran Santirasegaran- selepas berlaku kejadian kejar mengejar dari Bandar Country Homes di Rawang.

Isteri Vijayaratnam, G Moganambal, 35, dilaporkan berada dalam kereta ketika kejadian, tetapi polis mendakwa hanya tiga orang dalam kereta itu.

Beliau masih belum ditemui dan keluarganya mendesak inkues diadakan ke atas kejadian itu. – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen