Duterte cedera ringan kemalangan motosikal


Rodrigo Duterte cedera di pinggang dan luka kecil selepas terlibat dalam kemalangan motosikal. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2019.

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte cedera di pinggang dan luka kecil selepas terlibat dalam kemalangan motosikal, kata pembantu kanan pemimpin berusia 74 tahun itu hari ini.

Duterte yang kesihatannya jadi spekulasi awam sejak kebelakangan ini, terlibat dalam kemalangan itu di perkarangan Istana Presiden di Malacanang semalam, kata jurucakap Salvador Panelo.

Kemalangan itu berlaku 10 hari selepas Duterte- pemimpin tertua pernah dipilih jadi presiden- mendedahkan beliau mempunyai penyakit “ myasthenia gravis” yang boleh membawa komplikasi kesihatan serius.

“Presiden cuba mencapai kasutnya apabila beliau terjatuh daripada motosikal menyebabkan kecederaan kecil, luka-luka dan calar, di siku dan lututnya,” kata Panelo dalam satu kenyataan.

Senator Christopher “Bong” Go, bekas pembantu dan penasihat kanannya, sebelum itu memberitahu wartawan yang Duterte “berlanggar” dan mengadu sakit pinggang selepas kemalangan, tetapi tidak dimasukkan ke hospital.

Duterte cuba memarkir motosikal selepas memandunya di perkarangan Istana, kata Panelo yang menambah presiden kini sedang berehat.

Panelo enggan menjelaskan mengapa terdapat dua versi cerita kejadian, menegaskan: “Apa pun ceritanya, yang penting beliau sihat-sihat sahaja- tiada kecederaan parah.”

Persoalan tentang kesihatannya mula timbul sejak beliau mentadbir pada 2016, ketika itu Duterte sering tidak hadir mesyuarat dan majlis rasmi dan juga sering bercakap tentang sakitnya ketika ucapan panjang.

Perlembagaan Filipina menghendaki kuasa diserahkan kepada naib presiden sekiranya presiden meninggal dunia atau hilang upaya.

Duterte pada 2016 mendedahkan beliau sering mengambil fentanyl, ubat penahan sakit yang kuat kerana kecederaan tulang belakang kerana kemalangan motosikal. – AFP, 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen