SYARIKAT media akan mengalami nasib sama seperti penerbit Utusan Malaysia sekiranya membiarkan institusi mereka menjadi alat propaganda kerajaan, kata seorang penasihat menteri.
Penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Khalid Jaafar berkata, syarikat media perlu mengambil teladan bahawa nasib menimpa Utusan disebabkan sikap akhbar itu sejak 20 tahun lalu.
“Ini pelajaran buat institusi kewartawanan, surat khabar atau portal, kami pelanggan kamu, kalau kamu tekan, kami akan bangkit,” katanya dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara.
Jelasnya, tindakan Utusan menyerang gerakan reformasi menyebabkan timbul kempen boikot dan membawa kepada penutupan akhbar berkenaan minggu lalu.
“Matinya Utusan sebab kempen kita. Alhamdulillah matinya Utusan. Kita berdepan suasana surat khabar itu menjadi propaganda pemerintah.
“Kempen itu berjaya, takkan tak tahu kita kempen boikot Utusan. Tapi saya rasa mereka tak belajar daripada kempen kami,” katanya ketika ditemui selepas forum itu.
Katanya, kakitangan redaksi Utusan mungkin memahami akhbar itu semakin hilang pembaca namun pengurusan tertinggi syarikat penerbit tidak mengubah sikap.
Beliau mengakui perubahan teknologi menyumbang kepada kemerosotan pembaca namun Utusan pada masa itu juga menurutnya tidak mengubah sikap dan terus menyerang gerakan reformasi.
“Kita tidak boleh menolak sebab perubahan teknologi, tetapi sikap tak berubah. Ketika BN menang besar masa zaman (Abdullah Ahmad) Badawi kamu rasa selesa.
“Ada perubahan politik pada 2008, kamu tak berubah juga. Itu tempoh masa panjang, 20 tahun, sejak 1998 hingga 2008 kamu tak berubah.
“Sebagai ahli politik, kamu jadikan kami musuh, kami menentang dan akhirnya kami menang,” kata pengerusi badan kajian Institut Kajian Dasar itu.

Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd yang menerbitkan akhbar berusia 80 tahun itu menutup operasi dan memberhentikan lebih 800 pekerjanya minggu lalu.
Kerajaan bagaimanapun mengumumkan sebahagian kakitangannya akan diserapkan ke syarikat baharu yang mengambil alih penerbitan akhbar itu.
Akhbar berkenaan akan dilancarkan semula di bawah syarikat hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, Aurora Mulia Sdn Bhd yang memiliki hak milik lesen percetakan.
Khalid juga berkata, beliau tidak berasa kehilangan dengan penutupan akhbar Utusan yang menurutnya sering memaki hamun gerakan reformasi.
“Padan muka. Saya tak nostalgia,” katanya yang merupakan salah seorang pengasas parti PKR.
Pandangannya dalam forum itu disanggah seorang lagi ahli panel, Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan yang menegaskan penutupan mana-mana agensi berita tidak seharusnya diraikan.
Katanya semua akhbar mempunyai agenda tersendiri.
“Jangan sekali-kali kita raikan penutupan suara lidah Melayu, kalau inilah tujuannya kata Utusan ditutup kerana propaganda kerajaan, semua ada agenda mereka,” kata Shahril.
Turut hadir sebagai panel forum adalah penasihat media kerajaan A Kadir Jasin dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
Forum itu dipengerusikan oleh Perunding Latihan dan Pemasaran Abdul Hamid Mohamed. – 17 Oktober, 2019.
Komen