Ditipu beli cincin, isteri presiden Zimbabwe saman ahli perniagaan Lubnan


Isteri Presiden Zimbabwe Robert Mugabe menyaman seorang ahli perniagaan Lubnan kerana gagal menyerahkan cincin berlian bernilai RM5.7 juta yang ditempah sempena ulang tahun perkahwinannya. – Gambar AFP, 18 Oktober, 2017.

ISTERI Presiden Zimbabwe Robert Mugabe menyaman seorang ahli perniagaan Lubnan kerana gagal menyerahkan cincin berlian bernilai AS$1.35 juta (RM5.7 juta) yang ditempah sempena ulang tahun perkahwinannya.

Akhbar The Herald melaporkan, wanita pertama Dr Grace Mugabe menyaman ahli perniagaan yang kini diburu, Jamal Joseph Ahmed sebanyak AS$1.23 juta (RM5.19 juta) berhubung perjanjian pembelian cincin berlian yang gagal.

“Ahmed gagal menyerahkan cincin itu, melanggar perjanjian dan mencetuskan pertikaian perundangan,” kata akhbar itu.

Pada 2015, Grace membuat pesanan cincin berlian 100 karat bernilai AS$1.35 juta sempena ulang tahun perkahwinannya dengan pemimpin berusia 93 tahun itu.

“Plaintif mahu membeli cincin berlian unik untuk sambutan ulang tahun perkahwinannya.

“Sebaliknya defendan menawarkan cincin berlian bernilai AS$30,000 (RM126,705) menyebabkan plaintif enggan menerimanya,” kata dokumen mahkamah.

Ia menyebabkan Grace menuntut bayaran ganti rugi namun Ahmed hanya memulangkan AS$120,000 (RM506,820).

Menerusi dokumen yang difailkan di mahkamah tahun lalu, Ahmed berkata dia menawarkan bayaran balik secara ansuran dan sudah melunaskan kira-kira AS$150,000 (RM633,525).

Januari lalu, Ahmed berstatus penduduk tetap Zimbabwe namun tidak lagi tinggal di negara selatan Afrika itu, memohon perintah mahkamah bagi menghentikan percubaan Grace merampas harta bendanya berikutan pertikaian cincin berlian terbabit, namun dinafikan wanita pertama berkenaan.

Selain itu, Ahmed juga mendakwa menerima ugutan daripada pegawai dari agensi perisikan Zimbabwe serta anak lelaki hasil perkahwinan pertama Grace, Russel Goreraza. – AFP, 18 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen