ANGKA korban insiden bangunan kediaman runtuh di Brazil meningkat kepada dua orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Anggota penyelamat masih menyaring runtuhan untuk mengesan sekurang-kurangnya sembilan orang yang dilaporkan hilang.
Sembilan lagi berjaya diselamatkan. Kebanyakan mangsa penghuni bangunan itu yang runtuh pada Selasa pagi.
Bangunan itu terletak beberapa kilometer dari pantai di sebuah kejiranan mewah di Fortaleza, ibu kota negeri Ceara.
Bangunan tujuh tingkat itu dibina pada 1970-an dan mempunyai 13 unit pangsapuri termasuk sebuah emper.
Menurut pihak berkuasa tempatan, bangunan itu dibina tanpa permit serta lesen dan tiada pendaftaran pembinaan berkaitan firma kejuruteraan yang bertanggungjawab.
Bangunan itu dilaporkan menjalani kerja pengubahsuaian dan kertas kerjanya diserahkan pada Isnin, sehari sebelum insiden. – Bernama, 17 Oktober, 2019.
Komen