KIRA-KIRA 67% rakyat Czech menganggap Brexit akan menjejaskan negara mereka, lapor agensi berita China Xinhua memetik tinjauan pendapat yang dikeluarkan semalam oleh akhbar Mlada fronta Dnes (MfD).
Tinjauan pendapat itu, yang dikendalikan dari akhir September hingga awal Oktober, menunjukkan bahawa hampir tiga perlima daripada rakyat Czech mengharapkan United Kingdom (UK) akan kekal dalam Kesatuan Eropah (EU), 12% menyokong tindakannya keluar dari EU manakala satu perlima tidak mempunyai pendapat berhubung perkara tersebut.
Lebih 70% rakyat Czech berminat dengan peristiwa yang mempunyai kaitan dengan Brexit, lapor MfD.
Lebih separuh rakyat Czech berpendapat UK bertanggungjawab atas kesulitan yang menyelubungi tindakannya keluar dari EU, dengan kurang satu perlima berpendapat EU perlu dipersalahkan.
Britain dan EU sedang bergelut dengan masa untuk mencapai satu kata sepakat berkaitan Brexit dengan perjanjian menjelang sidang kemuncak utama EU.
Britain dijadual meninggalkan EU pada 31 Oktober dan sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Eropah itu yang bermula pada Khamis dilihat sebagai peluang terakhir untuk mencapai sebarang kata sepakat sebelum tarikh akhir. – Bernama, 17 Oktober, 2019.
Komen