Jho Low pinda perlembagaan 1MDB, Najib diberi kuasa mutlak, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Jho Low mencadangkan supaya Artikel 117 dimasukkan ke dalam Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB supaya Najib Razak diberi kuasa mutlak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Oktober, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho mencadangkan supaya perlembagaan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipinda untuk memberi kuasa mutlak kepada Najib Razak.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang mencadangkan supaya Artikel 117 dimasukkan ke dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB.

Pindaan ini memberi Najib kuasa mutlak dan menggantikan Artikel 9(a) yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan ke atas 1MDB.

Menurut saksi itu lagi, firma guaman Wong & Partners dirujuk terlebih dahulu berkenaan pindaan tersebut, di mana Brian Chia bertindak sebagai peguam utama.

Shahrol berkata pindaan tidak hanya melibatkan hal pentadbiran tetapi juga menetapkan perubahan sebenar dalam kuasa.

“Arahan datang dari Jho (Low). Katanya ini yang Datuk Seri Najib mahukan. Untuk menjadikannya jelas,” katanya ketika disoal balas peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Najib, 66, dibicarakan atas empat pertuduhan menyalahguna kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion menerusi 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.

Pendakwa menuduh bekas perdana menteri itu bersekongkol dengan Jho Low yang berasal dari Pulau Pinang, untuk menipu dana kekayaan negara. – 17 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen