Tragedi api liar, menteri Portugal letak jawatan


Menteri Dalam Negeri Portugal Constanca Urbano de Sousa meletakkan jawatan hari ini susulan kebakaran liar di hutan negara itu yang mengorbankan lebih 100 rakyatnya. – Gambar AFP, 18 Oktober, 2017.

MENTERI Dalam Negeri Portugal Constanca Urbano de Sousa meletakkan jawatan hari ini ketika semakin banyak mengkritik cara kerajaan mengendalikan kebakaran hutan yang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dalam tempoh empat bulan.

Perdana Menteri Sosialis Antonio Costa menerima peletakan jawatan itu.

Pada Ahad, kebakaran liar semakin teruk berlaku di bahagian tengah dan utara negara itu yang membunuh 41 orang dan mencederakan 71 yang lain, kata agensi perlindungan awam.

Kebakaran sama berlaku pada Jun membunuh 64 orang dan mencederakan 250 yang lain di tengah wilayah Pedrogao Grande, dalam kejadian kebakaran liar terburuk dalam sejarah negara itu.

Ketika jumlah kematian semakin tinggi, sebuah kumpulan kecil mendesak menteri berkenaan meletakkan jawatan.

Costa pada mulanya tidak mengendahkan desakan itu.

Selepas tragedi pada Jun, kerajaan menjadi sasaran kritikan kerana gagal membangunkan strategi untuk membanteras kebakaran hutan, yang menyebabkan berlaku lagi kebakaran dan kematian.

Semalam, ratusan rakyat berkumpul di Lisbon di bawah hujan lebat untuk tunjuk perasaan, meluahkan kemarahan terhadap kegagalan kerajaan. – AFP, 18 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen