UNIVERSITI Malaya (UM) perlu menarik balik laporan polis terhadap graduan Wong Yan Kee yang menunjukkan protes di pentas konvokesyen, dan berhenti menyasarkan aktivis pelajar, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Naib Canselor Abdul Rahim Hashim hendaklah memastikan UM tidak mengambil tindakan keras kerana ia hanya akan memberi gambaran buruk kepada universiti.
Beliau juga mengingatkan universiti itu mengenai pandangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan protes Wong terhadap Rahim semasa majlis konvokesyen pada Isnin lalu.
Kata Lim, Dr Mahathir mempertahankan hak pelajar untuk melahirkan bantahan tetapi bukan melakukan protes dalam acara rasmi seperti majlis konvokesyen.
“Sememangnya, protes di majlis tamat pengajian universiti dan perkara-perkara lain yang berkaitan harus ditangani, tetapi bukan dengan cara keras dan bersalah yang akan meletakkan UM dalam keadaan buruk,” kata Lim.
Jelas Lim, kesalahan perlu diletakkan di bahu Rahim berdasarkan kenyataan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) semalam bahawa protes dari aktivis pelajar timbul akibat rasa tidak puas hati terhadap pelbagai dakwaan dari naib canselor itu.
“Kegagalan Rahim menggalakkan toleransi antara kaum dan perpaduan di kalangan etnik yang pelbagai di UM melibatkan diri dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu adalah satu kesilapan besar dalam kepimpinannya di universiti,” kata Lim.
Wong, 23, graduan jurusan kejuruteraaan awam, menayangkan plakad menuntut Rahim meletak jawatan selepas beliau menerima skrol ijazahnya, Isnin lalu. – 17 Oktober, 2019.
Komen