LANGSUNG: Bekas CEO 1MDB disoal balas mengenai usaha sama PetroSaudi


Bede Hong Timothy Achariam

Saksi kesembilan pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan meneruskan sesi pemeriksaan balas pada perbicaraan melibatkan Najib Razak masuk hari ke-24 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Oktober, 2019.

SAKSI kesembilan pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan meneruskan sesi pemeriksaan balas pada perbicaraan melibatkan Najib Razak masuk hari ke-24 hari ini.

Ini masuk hari ketujuh berturut-turut Shahrol disoal balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Semalam Shahrol memberitahu mahkamah hubungan akrab Najib dan Almarhum Raja Abdullah melahirkan kerjasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International pada 2009 yang akhirnya menemui kegagalan.

Saksi itu berkata beliau yakin tiada masalah akan timbul kerana ia adalah perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan.

Melalui usaha sama bernilai AS$2.5 bilion itu, 1MDB akan menyuntik modal sebanyak AS$1 bilion bagi 40% saham.

Daripada AS$1 bilion yang sepatutnya disuntik dalam usaha sama tersebut, AS$300 juta disalurkan kepada JP Morgan (Suisse) SA yang memegang akaun yang 1MDB buka bersama PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited di bawah nama JVCo.

Baki AS$700 juta pula dimasukkan ke dalam akaun milik Good Star, syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Shahrol memberitahu mahkamah beliau menurunkan tandatangan bagi usaha sama itu selepas diyakinkan oleh bekas pengarah ekesekutif1MDB Casey Tang Keng Chee bahawa PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd adalah syarikat yang sah.

Najib, 66, dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.

Pendakwa menuduhnya berkomplot dengan Low dalam usaha untuk menipu firma pelaburan negara.

Najib diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh Shafee.

Najib Razak dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Oktober, 2019.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

The Insight Malaysia membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.07pm: Shafee tamatkan sesi pemeriksaan balas dengan saksi. Beliau beritahu hakim terpaksa tamatkan awal kerana perlu berjumpa doktor mata.

Prosiding ditangguhkan dan bersambung Isnin.

4.02pm: Shafee tidak berpuas hati dengan saksi, beritahu mereka hanya berlegar-legar mengenai perkara yang sama.

Shahrol berkata beliau tandatangan dokumen 1MDB kerana Najib telah tandatangan terlebih dulu.

3.29pm: Shafee bertanya kepada saksi mengenai peranan lembaga pengarah dan siapa yang beri arahan di 1MDB.

3.25pm: Shafee: Kamu jadikan perdana menteri maharaja 1MDB, macam maharaja India. Tak ada semak dan imbang.

Shahrol: Saya akan katakan ya.

3.24pm: Shafee berkata mengikut peruntukan dan undang-undang syarikat, keputusan dibuat oleh lembaga pengarah.

Shahrol: Saya katakan bukan begitu caranya di 1MDB.

3.20pm: Shahrol berkata bekas perdana menteri Najib Razak mempunyai kuasa mutlak di 1MDB.

Shafee setuju tetapi beliau berkata lembaga pengarah mesti terlebih dulu membuat keputusan, kemudian baru boleh ditolak oleh perdana menteri.

Shahrol kata bukan begitu caranya di 1MDB.

Kemudian Shafee bertanya jika lembaga pengarah perlu buat keputusan terlebih dulu.

Shahrol jawab “No comment”.

2.42pm: Shahrol beritahu mahkamah bukan Najib yang melantiknya sebagai CEO di 1MDB.

Shafee: Pelantikan kamu perlu dapat kelulusan perdana menteri. Ada kecacatan dalam pelantikan kamu sebagai CEO.

Shahrol: Saya masih CEO TIA dan apabila ia ditukar mereka kekalkan saya sebagai CEO 1MDB.

2.41pm: Prosiding disambung semula. Shahrol duduk di kandang saksi.

12.40pm: Mahkamah berhenti rehat tengah hari.

12.17pm: Shafee merujuk kepada surat yang Shahrol hantar kepada Najib pada 22 Disember 2010. 

Shahrol berkata kandungan surat diberi oleh Jho Low untuk diluluskan Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan.

Ini di bawah Artikel 117 Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MD.

11.08am: Prosiding bersambung.

10.15am: Prosiding berhenti seketika. Shafee memaklumkan kepada Sequerah pasukannya tertinggal sebuah kotak mengandungi dokumen. Mungkin di pejabat atau dalam kereta, kata Shafee.

Sequerah benarkan dan meminta Shafee masuk ke kamarnya.

10.00am: Shafee mengimbas proses lantikan Casey Tang sebagai pengarah eksekutif 1MDB.

Peguam bela Najib itu berhujah bahawa lembaga pengarah 1MDB diberi kuasa penuh untuk jalankan perniagaan walaupun terdapat pemegang saham dalam syarikat.

9.38am: Mahkamah mula bersidang. Shahrol dipanggil duduk di kandang saksi. – 17 Oktober, 2019.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen