2 lelaki Thai telan syabu dipenjara 16 tahun di Bali


Prakob Seetasang, 30, dan Adison Phonlamat, 20, warga Thailand dijatuhi hukuman penjara 16 tahun di Bali kerana cuba menyeludup dadah ke pulau peranginan itu. – Gambar AFP, 17 Oktober, 2019.

DUA lelaki warga Thailand dijatuhi hukuman penjara 16 tahun di Indonesia semalam selepas mereka menelan 1kg dadah jenis syabu dalam cubaan menyeludup dadah.

Mahkamah daerah di Bali menjatuhkan hukuman itu, yang kurang sedikit daripada tempoh 18 tahun dipohon oleh pihak pendakwa raya terhadap tertuduh, Prakob Seetasang, 30, dan Adison Phonlamat, 20.

Mereka ditahan di pulau peranginan Indonesia itu awal tahun ini selepas tiba dengan pesawat dari Bangkok.

Mereka menolak untuk membuat rayuan terhadap hukuman itu selepas didapati bersalah.

“Selepas berbincang, kami sebagai wakil defendan memutuskan untuk menerima keputusan itu,” kata peguam Aji Sibalan kepada panel hakim.

Tertuduh juga diperintahkan membayar denda AS$142,000 setiap seorang atau dikenakan tambahan setahun lagi hukuman penjara, kata Hakim Heriyanti.

Pada Februari, pihak berkuasa Bali menahan seorang lelaki warga Tanzania kerana didakwa menelan 1kg syabu.

Indonesia, negara majoriti Islam antara negara yang mengenakan hukuman keras terhadap kesalahan berkaitan dadah termasuk hukuman mati bagi penyeludup.

Pada 2015, warga Australia Andrew Chan dan Myuran Sukumaran – dalang dalam geng heroin Bali Sembilan – dihukum mati oleh penembak.

Berpuluh-puluh lagi penyeludup dadah dikenakan hukuman mati di Indonesia, termasuk seorang nenek warga Britain yang menyeludup kokain, seorang rakyat Amerika Syarikat ditahan membawa kristal syabu dan beberapa bekas banduan dari Afrika barat. – AFP, 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen