Wartawan Maghribi gugur anak dibebaskan hukuman penjara


Wartawan Maghribi Hajar Raissouni yang dijatuhi hukuman penjara setahun kerana menggugurkan anak secara haram dan berzina, dibebaskan selepas menerima pengampunan diraja semalam. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2019.

WARTAWAN Maghribi Hajar Raissouni yang dijatuhi hukuman penjara setahun kerana melakukan pengguguran anak secara haram dan berzina, dibebaskan semalam, sejurus selepas diberikan pengampunan diraja.

Dalam kes yang mencetuskan protes daripada kumpulan hak asasi manusia, kementerian keadilan berkata wanita berusia 28 tahun itu dibebaskan atas pengampunan yang dikeluarkan oleh Raja Mohammed VI.

Rassiouni dijatuhi hukuman pada 30 September bersama tunangnya, warga Sudan, seorang pakar sakit puan, pakar bius dan pembantu perubatan, yang disabitkan bersalah turut diberikan pengampunan.

Wartawan itu membuka tanda isyarat kemenangan pada media yang menunggunya ketika mereka keluar dari penjara El-Arjat berhampiran Rabat, tetapi beliau tidak memberikan sebarang kenyataan, sebelum bertemu keluarga dan rakannya.

Kementerian itu berkata keluarga diraja mahu membantu “memelihara masa depan pasangan itu yang mahu membina keluarga selari dengan amalan agama dan undang-undang sah, walaupun melakukan kesilapan itu”.

Raissouni ditahan pada 31 Ogos ketika keluar dari sebuah klinik di Rabat. Di mahkamah beliau menafikan menggugurkan kandungan, berkata beliau dirawat kerana pendarahan dalaman – keterangannya disokong oleh pakar sakit puan yang merawatnya.

Beliau dijatuhi hukuman mengikut Artikel 490 undang-undang negara majoriti Islam itu.

Artikel itu membawa hukuman bagi kesalahan berkaitan hubungan seks sebelum berkahwin dan mengharamkan kandungan digugurkan kecuali jika nyawa ibu dalam bahaya. – AFP,17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen