SEORANG calon transgender dipilih sebagai ahli majlis bagi sebuah bandar pedalaman di Bangladesh, lantikan kali pertama di negara ultra konservatif majoriti Islam itu.
Pinki Khatun dilantik sebagai naib pengerusi majlis perbandaran di barat negara itu, pada Isnin selepas menewaskan pesaing terdekatnya, dengan lebih 4,000 undi, kata ketua polis Mahbubul Alam.
“Saya sangat gembira. Saya kempen dari pintu ke pintu dan orang ramai memberi respons positif,” katanya yang juga pemilik kedai pakaian.
“Saya tidak berdepan dengan diskriminasi atau kempen kebencian.”
Bangladesh membenarkan transgender, atau dikenali sebagai hijra – perkataan yang merujuk kepada seseorang yang dilahirkan lelaki tetapi tidak merujuk dirinya sebagai lelaki atau perempuan – untuk dikenali sebagai gender berasing sejak 2013.
Tahun ini, mereka dibenarkan mendaftar untuk mengundi dengan menggunakan gender itu.
Ahli majlis berusia 37 tahun itu mewakili sayap belia bagi parti pemerintah Awami League dan berkempen sebagai calon bebas di bandar Kotchandpur dengan populasi 200,000 orang, selepas parti berkenaan tidak mahu menyokong sesiapa.
“Matlamat saya untuk memperkasakan wanita dan melindungi hak mereka,” katanya, yang sebelum ini diketahui sebagai perempuan.
“Saya akan bekerja keras supaya hijra dapat hidup dengan rasa hormat dalam masyarakat.”
Kerajaan berkata terdapat kira-kira 10,000 hijra di Bangladesh tetapi anggaran bebas berkata jumlahnya mungkin mencecah 500,000, dengan kebanyakannya menyembunyikan identiti mereka bagi mengelak diskriminasi. – AFP, 17 Oktober, 2019.
Komen