SEMUA pemimpin Pakatan Harapan bersetuju bahawa Anwar Ibrahim akan mengambil alih kepimpinan daripada Dr Mahathir Mohamad pada penggal pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kata seorang pakar strategi kanan DAP.
Tetapi, tempoh masa peralihan kuasa itu berlaku tidak ditetapkan dalam perjanjian tersebut, kata Ketua Biro Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong.
Bagaimanapun, Liew berkata sejak PH berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, terdapat banyak tafsiran menyentuh tempoh masa termasuklah kenyataan Dr Mahathir yang berkata beliau tidak akan mentadbir lebih tiga tahun.
Pihak lain pula ada mendakwa peralihan kuasa itu akan berlaku pada pertengahan penggal atau dua dan setengah tahun selepas PH menjadi kerajaan persekutuan.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Liew berkata tafsiran berbeza tentang tempoh masa itu wujud.
Liew: Saya rasa tafsiran itu tak jauh, Tun (Dr Mahathir) kata di New York paling lama tiga tahun mid term, tapi sejak awal adalah dalam tempoh itu.
TMI: Atau yang dulu dua tahun setengah?
Liew: Paling lama tiga tahun dan dua tahun setengah. Saya rasa time frame itu tak lari jauh dari tafsiran mereka.
Kenyataan Liew itu dikeluarkan selepas kemelut peralihan kuasa itu sekali lagi menjadi bualan hangat.
Anwar adalah presiden PKR, Dr Mahathir pula pengerusi Bersatu. Kedua-dua parti itu adalah parti komponen PH- yang juga melibatkan DAP dan Amanah.
Pelan peralihan kuasa itu dipersetujui bukan sahaja antara Anwar dan Dr Mahathir, tetapi juga oleh pemimpin kanan semua parti PH, kata Liew lagi. – 17 Oktober, 2019.
Komen