MCA perlu belajar Islam, bukan memusuhinya


SEBELUM ini, pihak institusi agama Islam di Pulau Pinang seperti exco agama dan mufti memberi respons terhadap pandangan yang melarang perempuan Islam gunting rambut di kedai bukan Muslim.

Begitu juga pandangan belajar di sekolah Cina dan sambutan hari jadi. Saya sendiri juga dihubungi oleh wartawan dan memberi respons terhadap isu tersebut.

Justeru, anggapan MCA kononnya kami ambil sikap acuh tidak acuh adalah bahaya, kerana seakan-akan mahu mengeruhkan hubungan baik Muslim dan bukan Muslim di negara ini.

Pendekatan berbincang dan berunding antara Muslim dan bukan Muslim di Pulau Pinang, kami yakini sebagai pendekatan yang berhikmah dan disetujui ramai pihak di negeri ini.

Kami dapati, pemimpin Pakatan Harapan (PH) di setiap peringkat dalam negeri juga selesa dengan pendekatan ini. Ini kerana, pendekatan ini berjaya membawa kesimpulan yang aman damai, terelak permusuhan dan tidak melahirkan prejudis sesama rakyat di Pulau Pinang.

Namun sedihnya, MCA seakan-akan tidak bersetuju dan menyerang pendekatan ini.

Atas semangat itu, pihak Exco Agama Abdul Malek Abul Kasim mengulangi pendirian bahawa tidak akan menghalang sesiapa sahaja mahu menyampaikan syarahan agama di seluruh masjid dan surau di Pulau Pinang selama ia tidak membawa ajaran sesat, bahkan selama tidak membawa kepada permusuhan dan kerosakan dalam masyarakat.

Sebarang pandangan yang masih dalam ruangan perbincangan ulama Islam, pihak kami tidak akan menafikan kewujudan pandangan tersebut. Namun, pihak kami akan memilih dan mencadangkan pandangan yang lebih rahmat kepada masyarakat Pulau Pinang.

Pada kami, sikap begitu amat dekat dengan budaya masyarakat Pulau Pinang yang pelbagai dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Dalam pengamalan gunting rambut perempuan Islam oleh perempuan bukan Islam, pihak saya dan mufti mengeluarkan kenyataan ia tidak salah mengikut pandangan ulama muktabar bernama al-Mardawi.

Begitu juga kami menyatakan tidak salah sambutan hari jadi dan belajar di sekolah orang bukan Islam dengan merujuk kepada pandangan ulama muktabar dan hujah yang sahih.

Saya kira, kepelbagaian pandangan ulama Islam ini wajar difahami dan dipelajari oleh pihak MCA. Sikap MCA yang memusuhi dan menyerang, kami anggap ia tidak sihat dan melahirkan polemik yang lain pula.

Sudah pasti, ia tidak baik untuk masyarakat Malaysia, khususnya Pulau Pinang.

Saya percaya, pendekatan kami ini terpaksa diakui baik oleh Umno, malahan PAS, walaupun kami tahu mereka memusuhi kami sepertimana MCA memusuhi pendekatan rahmat yang kami usaha menerapkannya di Pulau Pinang. – 18 Oktober, 2017.

* Wan Ji Wan Hussin ialah pegawai penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen