Angka kematian serangan pengebom bunuh diri di Afghanistan meningkat 80 orang


Tiga kenderaan yang sarat berisi bom digunakan dalam serangan pengebom bunuh diri hingga menyebabkan 80 orang maut di bandar Gardez, daerah Paktia. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2017.

ANGKA kematian dalam dua serangan pengebom bunuh diri dan serangan tembakan ke atas pasukan keselamatan Afghanistan meningkat hingga 80 orang dengan 300 orang lagi dilaporkan cedera, kata pihak berkuasa pada Rabu, dalam serangan berdarah paling buruk dalam tempoh lima bulan di negara itu.

Serangan ke atas balai polis paada Selasa di bandar Gardez di daerah Paktia di mana militan Taliban menyamar sebagai anggota polis bertindak meletupkan tiga kenderaan yang dipenuhi bahan letupan - termasuk trak dan Humvee - hingga memberi laluan kepada 11 anggota bersenjata untuk memasuki balai berkenaan. 

Sekurang-kurangnya 60 orang termasuk ketua polis Paktia Toryalai Abdyani dan orang awam yang sedang menunggu untuk mengambil dokumen, terbunuh dalam letupan diikuti dengan pertempuran yang berlarutan sehingga lima jam, kata timbalan pengarah kesihatan Hedayatullah Hamidi kepada AFP. 

236 orang dilaporkan cedera dalam serangan itu, tambahnya.

“Pusat pemeriksaan pertama untuk kawasan itu diletupkan dengan trak yang sarat dengan bahan letupan. Dua lagi kenderaan dilihat memasuki kawasan itu - satu diletupkan dekat pusat pemeriksaan kedua dan satu lagi merempuh pejabat ketua polis menyebabkan ketua polis dan pengawal peribadinya terbunuh,” kata jurucakap gabenor Paktia, Abdullah Hasrat.

Anggota militan terbabit memakai seragam polis dan membawa kad pengenalan polis palsu, kata Hasrat - ia merupakan satu taktik yang biasa digunakan oleh pemberontak untuk memasuki kawasan bangunan kerajaan dan keselamatan. 

Jurucakap polis Sardar Wali Tabasum berkata dua anggota pasukan keselamatan ditahan berhubung serangan itu, dan mengesyaki pelaku mempunyai bantuan dari orang dalam. 

“Kami syak Taliban mengambil kenderaan ini (Humvee dan trak pikap polis) ketika daerah Jani Khel jatuh ke tangan mereka pada Ogos,” kata Tabasum kepada AFP. Jani Khel terletak kira-kira 50 kilometer daripada timur Gardez.

Dala serangan kedua di kejiranan daerah Ghazni, kira-kira 100 kilometer dari barat Gardez, angka kematian rasmi adalah 20 orang, termasuk 15 anggota pasukan keselamatan dan lima orang awam, kata jurucakap gabenor Ghazni, Haref Noori kepada AFP.

Jumlah mangsa yang cedera adalah seramai 46. – AFP, 18 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen