AS keluar pengecualian sekatan untuk terus penjualan senjata kepada Turki


Jabatan Perbendaharaan akan mengeluarkan satu pengecualian bagi membolehkan penjualan senjata antara Amerika Syarikat dan Turki diteruskan susulan penguatkuasaan sekatan ke atas negara itu. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2019.

JABATAN Perbendaharaan akan mengeluarkan satu pengecualian bagi membolehkan penjualan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Turki diteruskan susulan penguatkuasaan sekatan ke atas negara itu kerana melancarkan operasi ketenteraan di timur laut Syria, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai pada Selasa.

“Dengan syarat Jabatan Perbendaharaan akan, jika ia belum berbuat demikian, mengeluarkan satu pengecualian umum bagi membolehkan aktiviti rasmi yang sedang berlaku diteruskan.

“Niatnya ialah untuk meliputi penjualan ketenteraan dan barangan lain,” kata seorang pegawai kanan Pentagon kepada pemberita yang enggan namanya disiarkan.

AS telah mengumumkan sekatan ke atas dua kementerian dan tiga pegawai kanan kerajaan Turki pada Isnin selepas negara itu melancarkan operasi antikeganasan di timur laut Syria. 

Washington telah mengenakan sekatan ke atas Kementerian Pertahanan Nasional; Kementerian Tenaga dan Sumber Asli; Menteri Pertahanan Nasional Hulusi Akar; Menteri Tenaga dan Sumber Asli Fatih Donmez dan Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu.

“Kami perlu melihat butiran bagaimana pengecualian itu sebenarnya ditulis bagi mengetahui sebarang kesan yang berpotensi. Ideanya ialah untuk dapat meneruskan urusan rasmi, samada dari segi diplomatik oleh Jabatan Negara dan aktiviti kami,” kata pegawai itu. 

Pegawai itu juga berkata AS sedang berusaha untuk terus melibatkan diri dalam dialog dengan Turki untuk menasihati negara tersebut agar menghentikan operasi ketenteraan di Syria. – Bernama, 16 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen