Juruterbang Korea Selatan lebih ramai sertai syarikat penerbangan China


Data menunjukkan dua syarikat penerbangan utama negara - Korean Air dan Asiana Airlines - masing-masing kehilangan 172 dan 86 juruterbang yang beralih arah ke syarikat penerbangan China. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2019.

SEMAKIN ramai juruterbang dari Korea Selatan beralih arah dengan menyertai syarikat penerbangan China dalam tempoh lima tahun lalu, lapor agensi berita Yonhap.

Wakil parti pemerintah iaitu Parti Demokratik, An Ho-young berkata pada Rabu antara 2014 dan Julai 2019 seramai 460 juruterbang dari syarikat penerbangan di Korea menyertai syarikat asing kerana ditawarkan gaji jauh lebih tinggi, memetik data Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Kira-kira 80 peratus daripadanya menyertai syarikat penerbangan China.

Data itu menunjukkan dua syarikat penerbangan utama negara - Korean Air dan Asiana Airlines - masing-masing kehilangan 172 dan 86 juruterbang. 

Meskipun, seorang kapten yang bertugas dengan Korea Air memperoleh pendapatan kira-kira 100 juta won setiap tahun, secara purata (US$ 84,000), dilaporkan syarikat China menawarkan kira-kira 200 juta won, atau sehingga 300 juta won bergantung kepada jenis pesawat.

Tahun paling ramai juruterbang beralih ke syarikat China ialah pada 2016 dan 2017 ketika industri penerbangan berkembang pesat.

Akhir tahun lepas, jumlah juruterbang syarikat penerbangan Korea Selatan adalah seramai 6,316 orang. – Bernama, 16 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen