CADANGAN membentuk kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Amanah tidak dibincangkan dengan Hishammuddin Hussein, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Tidak ada,” kata perdana menteri ketika ditanya hari ini sama ada perkara itu pernah dibincangkan dalam pertemuan dengan Hishammuddin sebelum ini.
Dr Mahathir juga dengan sinis menggiat pemimpin Umno berkenaan untuk meneruskan usaha tersebut.
“Mereka boleh cuba (merealisasikan idea itu),” kata Dr Mahathir lagi kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa (IDEP) di Mercu UEM Kuala Lumpur.
Dr Mahathir ditanya demikian kerana Hishammuddin dilaporkan bertemu dengannya untuk mengadakan perbincangan pada Ogos lalu.
Pertemuan itu seterusnya menimbulkan kecaman ke atas ahli Parlimen Sembrong tersebut di kalangan sesetengah pemimpin Umno kerana didakwa cuba berpaling tadah.
Pertemuan itu kembali menjadi perhatian apabila Majlis Setiausaha PH mendesak Hishammuddin menghentikan kempen untuk menubuhkan kerajaan tanpa DAP dan Amanah.
Majlis berkenaan juga semalam menegaskan gabungan parti itu berpegang teguh kepada muafakat PH dan kekal bersatu dalam kerajaan yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah dalam Kabinet.
Presiden PKR juga Anwar Ibrahim juga semalam meminta supaya ahli Parlimen pembangkang yang lain tidak tidak terpedaya dengan gerakan yang disifatkan sebagai “strategi karut”.
“Sama ada didakwa di mahkamah, diugut mahupun dipenjara, prinsip jangan digadai. Beritahu Sembrong,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu dalam ucapan di Dewan Rakyat semalam. – 16 Oktober, 2019.
Komen