POLIS Perancis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah ribuan anggota bomba yang mengadakan tunjuk perasaan di tengah Paris semalam, protes berkenaan kekurangan sumber dan pengiktirafan profesional.
Demonstrasi bermula dengan suasana sangat bising tetapi aman, dengan wisel, asap dan siren, sebelum situasi menjadi makin hangat dan anggota bomba ada yang bergelut dengan polis ketika mereka cuba menyekat jalan utama.
Polis kemudian melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah rakan sejawatan mereka iaitu anggota bomba perkhidmatan kecemasan.
Berpuluh-puluh lagi penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Parlimen, beberapa jam kemudian mula bersurai selepas diarahkan oleh polis.
Sebahagiannya membawa kain rentang dengan slogan seperti “Buat lebih dalam kekurangan, selamat datang ke jabatan bomba”.
Kementerian dalam negeri berkata insiden “terpencil” itu membawa kepada penahanan enam individu dan tiga anggota polis cedera.
“Jumlah kami makin kurang, tetapi kami dilambakkan dengan banyak panggilan. Kami diminta buat semuanya, malah gantikan ambulans. Sampai masanya, kami sudah tidak mampu hendak buat,” kata Mathias Gosse, 53, anggota bomba dari barat daya Perancis.
Persatuan anggota bomba mendesak premium lebih tinggi untuk mengendalikan kebakaran, meminta supaya mereka diberikan bonus yang sama seperti polis.
Anggota bomba menyifatkan demonstrasi itu satu kejayaan, dengan jumlah peserta antara 7,000 dan 10,000.
Anggota bomba profesional mewakili hanya 16% daripada jumlah 247,000 keseluruhan di Perancis, dengan kebanyakannya adalah sukarelawan.
Dalam demonstrasi itu, anggota bomba itu menerima sokongan daripada doktor, jururawat dan pekerja ambulans, yang juga merungut tentang kekurangan dalam perkhidmatan masing-masing. – AFP, 16 Oktober, 2019.
Komen