PELAKON Felicity Huffman pada Selasa mula menjalani hukuman penjara selama dua minggu berhubung peranannya dalam penipuan kemasukan kolej dengan membayar rasuah untuk membantu anak perempuannya masuk ke universiti berprestij di AS.
Bintang siri “Desperate Housewives” itu menyerah diri kepada Federal Correctional Institution di Dublin, kira-kira 55km di timur San Francisco, pada awal pagi.
“Cik Huffman bersedia menjalani hukuman penjara diarahkan Hakim (Indira) Talwani sebagai salah satu hukuman yang dikenakannya terhadap perbuatan Cik Huffman,” kata seorang wakil pelakon berusia 56 tahun itu dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Beliau akan mula menjalani hukuman dikenakan Hakwil Talwani- setahun pelepasan diselia, dengan syarat termasuk 250 jam khidmat masyarakat - apabila dibebaskan.”
Calon Oscar, yang berkahwin dengan aktor William H. Macy, adalah yang pertama daripada lebih 30 orang ibu bapa yang dihukum dalam sindiket mendapatkan tempat bagi anak golongan elit belajar di kolej terkenal di AS.
Huffman, yang juga didenda AS$30,000, mengaku bersalah pada Mei sambil menangis mahkamah kerana membayar AS$15,000 untuk menipu skor peperiksaan masuk akademik SAT anak perempuannya.
Skandal itu meletus pada Mac ketika dalang sindiket, William “Rick” Singer, mengakui menjalankan penipuan termasuk ujian kemasukan dengan merasuah pelatih untuk membantu pelajar bukan atlet mendapatkan biasiswa.
Pihak berkuasa mengatakan beliau dibayar kira-kira AS$25 juta untuk menyuap jurulatih dan pentadbiran universiti. Beliau mengaku bersalah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan yang dibacakan di mahkamah pada penghakimannya bulan lalu, aktres itu meminta maaf kepada pelajar dan ibu bapa.
“Saya melanggar undang-undang, tiada alasan atau justifikasi bagi tindakan saya,” katanya.
“Harapan saya sekarang ialah keluarga, rakan dan komuniti akan memaafkan saya atas tindakan saya,” tambah Huffman.
Pelakon Lori Loughlin dari sitkom “1980an-90an” dan suaminya juga berdepan pertuduhan yang sama. Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan sedang menunggu perbicaraan. – AFP, 16 Oktober, 2019.
Komen