TWITTER berkata pada Selasa bahawa pemimpin dunia tidak terkecuali daripada peraturan platform dalam talian dan semua mesej mereka yang melanggar syarat perkhidmatan akan dipadam atau dikeluarkan.
Dalam satu kenyataan yang bertujuan menjelaskan dasarnya, Twitter berkata ia berhak mengambil “tindakan penguatkuasaan” terhadap tweet yang menyinggung perasaan, terutama yang termasuk kategori ancaman kekerasan atau pengeposan maklumat peribadi.
Langkah itu susulan media sosial khususnya Facebook, menerima tekanan kerana membenarkan kenyataan palsu dan mengelirukan daripada pemimpin politik.
Facebook dan Twitter berkata mereka tidak akan cuba mengeluarkan ulasan “bernilai berita” daripada pemimpin politik, dan Facebook mengecualikan iklan politik dari pemeriksaan fakta.
Twitter berkata dasarnya tidak memberi kebebasan kepada tokoh politik.
“Kami ingin menjelaskan hari ini bahawa akaun pemimpin dunia tidak terkecuali daripada dasar kami sepenuhnya,” kata syarikat itu dalam kenyataan di blog.
Twitter berkata ia akan mengambil tindakan terhadap mana-mana akaun yang “mempromosi keganasan” atau “ancaman keganasan yang jelas dan langsung” serta kemasukan maklumat peribadi, seperti alamat rumah atau nombor telefon.
Ia juga akan bertindak terhadap pengeposan gambar atau video peribadi seseorang tanpa persetujuan, dan sebarang posting berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak atau mempromosikan cubaan mencederakan diri.
Twitter berkata ia tidak mengubah dasarnya yang memberi peluang kepada ucapan politik.
Dasar yang diumumkan pada Jun mengecualikan kebanyakan komen politik daripada peraturannya.
Ia sebelum ini berkata, jika tweet daripada pemimpin dunia melanggar peraturan Twitter tetapi ada “kepentingan awam yang jelas” dalam maklumat yang mungkin memerlukan pengguna mengklik pada notis bagi mengakui mereka ingin melihat mesej itu.
“Matlamat kami adalah untuk menguatkuasakan peraturan kami secara bijak dan adil,” kata Twitter.
Facebook dikecam kerana membenarkan Presiden Donald Trump meletakkan iklan yang dikatakan oleh para pengkritik termasuk maklumat palsu mengenai calon Demokrat Joe Biden. – AFP, 16 Oktober, 2019.
Komen