Jangan terjerat beban hutang, pesan ketua hakim kepada pegawai


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat memberi amaran kepada semua pegawai kehakiman supaya tidak terjerat dalam beban hutang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 Oktober, 2019.

KETUA Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memberi peringatan kepada pegawai kehakiman supaya mengelak daripada terjerumus ke dalam masalah kewangan yang serius.

Tengku Maimun berkata, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas mana-mana pegawai kehakiman yang gagal merancang dan menguruskan perbelanjaan sehingga menyebabkan mereka menanggung beban hutang.

“Saya ingin mengingatkan terutamanya kepada pegawai kehakiman agar mengelakkan diri dalam keadaan keterhutangan kewangan yang serius yang memburukkan nama perkhidmatan awam dan mencalar imej Badan Kehakiman Malaysia.

“Kita sedia maklum, tekanan daripada keterhutangan yang serius boleh membuka ruang untuk perbuatan salah laku dan rasuah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, tindakan ke atas mereka yang mempunyai beban hutang tinggi boleh diambil mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993.

Katanya, larangan menerima hadiah daripada pihak ketiga yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi juga perlu dipatuhi oleh semua pegawai Badan Kehakiman Malaysia.

“Tindakan menerima hadiah ini boleh memberi tanggapan hakim-hakim dan pegawai kehakiman terhutang budi kepada pemberi hadiah itu.

“Ia juga boleh menimbulkan syak terhadap keupayaan hakim-hakim dan pegawai kehakiman untuk berlaku adil,” katanya. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen