POLIS Indonesia berkata mereka sudah menahan berpuluh orang suspek militan selepas dua individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas Negara Islam Syria dan Iraq (IS) cuba membunuh seorang menteri negara itu.
Negara majoriti Islam terbesar dunia itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berbahaya menjelang majlis angkat sumpah penggal kedua Presiden Joko Widodo pada Ahad, hampir 27,000 anggota tentera dijangka dikerahkan ke Jakarta.
Pihak berkuasa juga mengharamkan tunjuk perasaan menjelang majlis angkat sumpah itu, kerana bimbang ia akan digunakan sebagai tempat serangan, kata jurucakap Agensi Perisikan Negara Wawan Purwanto.
Minggu lepas, dua militan menikam Menteri Keselamatan Wiranto, seorang bekas jeneral tentera ketika lawatan rasmi ke Jawa Barat.
Pemimpin berusia 72 tahun itu dikejarkan ke sebuah hospital di Jakarta menggunakan helikopter, di mana beliau dirawat kerana kecederaan di perut kerana ditikam. Beliau masih dirawat di hospital.
27 orang suspek militan sudah ditahan sejak serangan itu, kata jurucakap Polis Indonesia Dedi Prasetyo.
Prasetyo berkata polis juga merampas senjata tajam, bahan letupan dan kimia ketika serbuan.
Penahanan dilakukan di seluruh negara utama Asia Tenggara yang mempunyai 260 juta penduduk, termasuk di Bali, apabila seorang ayah dan anak lelakinya ditahan kerana dipercayai merancang serangan di pusat pelancongan terkenal dunia itu.
Hujung minggu lepas, ratusan orang hadir majlis ulang tahun ke-17 pengeboman Bali yang membunuh lebih 200 orang- serangan pengganas terburuk di Indonesia.
Pasangan suami isteri yang ditahan selepas Wiranto diserang kemudiannya dikenal pasti sebagai ahli Jamaah Ansharut Daulah (JAD), kumpulan pengganas yang bertanggungjawab dalam pengeboman gereja di Surabaya tahun lepas yang membunuh berpuluh orang. – AFP, 15 Oktober, 2019.
Komen