POLIS sedang mengesan seorang individu yang disyaki menghina pasukan keselamatan itu di laman sosial Twitter.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah menerima dua laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Jalan Tun Razak, malam tadi.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, seorang individu menggunakan nama Navin Pillai telah memuat naik gambar Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan kapsyen jelik yang tular sejak semalam.
Individu terbabit turut mengeluarkan kenyataan jelik ketika membalas ciapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung isu pengganas. – Bernama, 15 Oktober, 2019.
Komen