Lebih 100 penerbangan dibatalkan susulan tunjuk perasaan di Barcelona


Jalan utama di Barcelona turut diputuskan hubungan oleh ribuan orang yang mengadakan tunjuk perasaan di Plaza de Catalonia dan Plaza Sant Jaume sebagai membantah hukuman yang dijatuhkan pada Isnin malam. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2019.

RIBUAN penunjuk perasaan membanjiri Lapangan Terbang Barcelona-El Prat selepas Mahkamah Agung Sepanyol pada Isnin menjatuhi hukuman penjara antara 9 dan 13 tahun ke atas tujuh bekas anggota kerajaan wilayah Catalan berhubung peranan mereka dalam referendum kemerdekaan 1 Oktober 2017, lapor agensi berita China Xinhua.

Referendum itu diisytiharkan sebagai tidak sah di sisi undang-undang oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

Lapangan Terbang Sepanyol dan Navigasi Udar (AENA) pada Isnin mengesahkan sejumlah 108 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang Barcelona akibat tunjuk perasaan itu.

Laluan metro dan kereta api turut ditutup ekoran tunjuk perasaan itu manakala landasan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Barcelona dan bandar Girona (di timur laut Sepanyol) serta jalan-jalan yang menghubungkan bandar itu ke lapangan terbang turut disekat oleh penunjuk perasaan.

Jalan-jalan utama di Barcelona turut diputuskan hubungan oleh beribu-ribu orang yang mengadakan tunjuk perasaan di Plaza de Catalonia dan Plaza Sant Jaume sebagai membantah hukuman yang dijatuhkan pada Isnin malam.

Perkhidmatan kecemasan mengesahkan 56 orang cedera dalam pertempuran dengan polis dan 10 daripada mereka dibawa ke hospital.

Referendum di timur laut wilayah Sepanyol itu, yang menuntut kemerdekaan Catalonia, adalah satu gerakan sosial dan politik, yang didakwa tidak sah di sisi undang-undang oleh kerajaan dan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol. – Bernama, 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen