SEKURANG-KURANGNYA 37 penunjuk perasaan cedera semalam dalam pertempuran dengan polis di lapangan terbang Barcelona selepas Mahkamah Agung Sepanyol menjatuhi hukuman penjara ke atas enam pemisah kerana secara salah mempromosi kemerdekaan Catalan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Sejumlah 12 pemimpin pemisah Catalan telah didakwa dengan pertuduhan jenayah termasuk melakukan kesalahan hasutan, keingkaran dan penyalahgunaan dana awam, umum mahkamah pada awal hari yang sama.
Daripada jumlah itu, tujuh ahli politik dan dua aktivis akan menjalani hukuman penjara antara sembilan dan 13 tahun bagi peranan mereka dalam percubaan yang gagal untuk mengisytiharkan kemerdekaan dari Sepanyol dua tahun lepas.
Penunjuk perasaan telah turun ke jalanan di seluruh wilayah Catalonia, dengan sebahagian besar protes berlaku di bandar-bandar Barcelona, Girona dan Tarragona.
Penunjuk perasaan telah menyekat lalu lintas termasuk di lebuh raya.
Pada Oktober 2017, kerajaan Catalan telah mengadakan satu referendum berkaitan kemerdekaan yang salah di bawah undang-undang Sepanyol.
Meskipun polis telah mengambil tindakan keras berkaitan referendum itu, penganjur melaporkan bahawa daripada 43 peratus penduduk yang mengambil bahagian, 90 peratus memilih kemerdekaan.
Hukuman penjara pada Isnin dijatuhi ke atas mereka yang tinggal di Sepanyol.
Hukuman penjara paling lama iaitu 13 tahun, telah dijatuhi ke atas Oriol Junqueras, bekas naib perdana menteri wilayah itu yang didakwa melakukan hasutan dan menyalahgunakan dana awam.
Bekas Menteri Luar Catalan Raul Romeva, bekas jurucakap kerajaan Jordi Turull dan Dolors Bassa, yang merupakan bekas Menteri Buruh, telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Carme Forcadell, bekas speaker Parlimen Catalan, dihukum penjara 11 tahun setengah manakala Joaquim Forn, bekas Menteri Dalam Negeri dan Josep Rull, bekas Menteri Wilayah pula didakwa melakukan hasutan dan dihukum penjara 10 tahun setengah.
Sementara itu, dua aktivis Catalan yang mengetuai pertubuhan pemisah namun tidak bukan ahli politik yang aktif—Jordi Sanchez dan Jordi Cuixart—masing-masing dihukum penjara sembilan tahun bagi kesalahan hasutan.
Kesemua pemimpin juga akan digantung daripada memegang jawatan awam sepanjang tempoh hukuman penjara mereka.
Tiga lagi pegawai kerajaan telah didakwa melakukan kesalahan keingkaran dan dikenakan hukuman denda sebanyak €60,000 (US$66,180). – Bernama, 15 Oktober, 2019.
Komen