Ketirisan subsidi LPG cecah RM1.7 bilion 


Program subsidi gas petroleum cecair (LPG) mula diperkenalkan pada 1983.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

PROGRAM subsidi gas petroleum cecair (LPG) yang diperkenalkan pada 1983 menghadapi ketirisan berjumlah RM1.71 bilion sejak 2017, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018.

Program itu memberi subsidi kepada gas memasak, yang datang dalam tabung silinder 10-14 kilogram.

Ia diuruskan oleh tiga agensi - Perbendaharaan di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan bahagian cukai Jabatan Kastam.

Ketirisan itu timbul daripada masalah sistem pembayaran, penguatkuasaan, pemantauan dan subsidi kepada orang yang tidak layak, kata laporan itu.

Jabatan Audit Negara menyatakan bahawa Perbendaharaan secara rutin membuat pembayaran sebelum Jabatan Kastam mengesahkan tuntutan subsidi dari syarikat pembekal. Perbendaharaan juga dilihat tidak mempunyai prosedur operasi standard untuk pembayaran tuntutan subsidi daripada pembekal.

Menurut jabatan berkenaan, dari 2015 hingga 2015, lebih RM45.5 juta dibayar oleh Perbendaharaan kepada pembekal manakala proses pengesahan Jabatan Kastam mengambil masa lebih daripada dua minggu dan dalam satu kes, sehingga 649 hari.

Isu penguatkuasaan termasuk Perbendaharaan melantik pembekal tanpa perjanjian standard atau prosedur khusus. Isu yang sama didapati dalam kalangan pembekal, pengedar dan peruncit, yang sebahagiannya telah luput lesen barangan terkawal berjadual.

Jabatan itu juga menyatakan bahawa syarikat borong dan runcit gagal menyimpan rekod stok yang betul, menyebabkan beberapa syarikat tidak dapat membuktikan premis mereka telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jabatan audit mencadangkan bahawa Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan dasar yang lebih jelas dan Perbendaharaan menjalankan penilaian sepenuhnya terhadap keberkesanan program subsidi LNG untuk memastikan ia memberi manfaat kepada kumpulan sasar. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen