PM jawab Ramasamy, guna Sosma untuk cegah keganasan


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang itu untuk mencegah keganasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Oktober, 2019.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) perlu memahami polis bertindak mengikut undang-undang Sosma untuk mencegah keganasan walau parti sudahpun berjanji untuk memansuhkan akta tersebut, kata perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad berkata keadaan berbeza pada masa ini kerana kerajaan perlu mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang itu untuk mencegah keganasan.

Beliau juga berpuas hati dengan tindakan polis menahan suspek termasuk pemimpin DAP yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Ya, (tetapi) keadaan berbeza. Kita bukan nak tangkap orang sewenang-wenangnya.

“Saya ada dapat penjelasan daripada polis tentang sebab-sebab mereka mengambil tindakan dan saya puas hati dengan sebab-sebab itu,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata demikian hari ini ketika ditanya kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy bahawa penahanan mengkikut Sosma itu bertentangan dengan janji PH.

Katanya, tindakan mengikut Sosma atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) itu akan tetap dijalankan walau Ramasamy tidak berkenan.

“Kalau Ramasamy tidak puas hati, tidak apalah. Dia katalah dia tak puas hati tetapi hakikatnya benda ini berlaku, dan ada sebabnya ia berlaku,” ujarnya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menyifatkan tindakan mengikut Sosma terlalu “keras” kerana peruntukan undang-undang itu terlalu kuat dan perlu dipinda.

Polis setakat ini menahan 12 orang termasuk dua wakil rakyat DAP kerana dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa pendakwaan di bawah Sosma.

PH dalam kempen PRU14 berjanji untuk menghapuskan akta dianggap zalim seperti Sosma, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA). – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen