Universiti di New Zealand didenda jika pelajar cedera, maut


Peraturan berkuatkuasa 2021 itu susulan mayat seorang pelajar Universiti Canterbury ditemui mereput dalam biliknya. – Gambar AFP, 15 Oktober, 2019.

UNIVERSITI dan pengendali penginapan asrama di New Zealand hari ini diberi amaran akan dikenakan denda berat selepas mayat seorang pelajar ditemui mereput dalam biliknya.

Menteri Pendidikan New Zealand Chris Hipkins berkata penemuan mayat itu menunjukkan bahawa kebajikan pelajar di kediaman pelajar diabaikan.

Katanya, satu kod mandatori akan berkuatkuasa 2021 termasuk hukuman denda AZ$100,000 bagi kesalahan yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius kepada pelajar.

Mangsa, Mason Pendrous, 19, tinggal di asrama persendirian yang dikendalikan oleh Campus Living Villages (CLV) merupakan pejar tahun pertama pengajian e-dagang di Universiti Canterbury.

Keluarga pelajar itu menghubungi universiti pada hujung Ogos selepas empat minggu tidak mendengar sebarang berita darinya. Mayatnya ditemui pada 23 September.

Bapa tiri Pendrous berkata mereka banyak kali cuba menghubungi pelajar itu tetapi gagal, dan mulanya menganggap itu tingkah laku biasa bagi remaja. Namun lama-kelamaan mereka bimbang bila Pendrous langsung tidak menghubungi mereka untuk jangka masa yang lama.

Kes itu kini disiasat oleh koroner dan satu badan siasatan bebas yang ditubuhkan oleh Universiti Canterbury. – AFP, 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen