POLIS di utara Nigeria hari ini telah menyelamatkan lebih 300 remaja lelaki dari sebuah sekolah asrama Islam di mana mereka telah dirantai dan didera secara seksual.
Pasukan polis telah menyerbu sekolah di Daura di Katsina selepas beberapa pelajar melarikan diri dari asrama mereka pada Ahad dan berada di jalanan sebagai tanda protes.
Ketua Polis Katsina Sanusi Buba memberitahu wartawan di Daura bahawa remaja lelaki itu dirantai dan diseksa.
“Kami mendapat tahu ada lebih 300 penghuni di situ dan kerana dilayan dengan tidak berperikemanusiaan, mereka telah lakukan pemberontakan.
“Beberapa penghuni melarikan diri sementara kira-kira 60 daripada mereka terus menetap di asrama berkenaan,” katanya sambil menambah kebanyakan remaja itu ditemui dalam keadaan berantai.
Buba berkata sekolah itu ditubuhkan oleh ulama berusia 78 tahun, Bello Mai Almajirai 40 tahun lalu.
Beliau kemudian memindahkan pengurusan sekolah kepada anaknya.
Beliau berkata pelajar yang didaftarkan oleh keluarga dibawa ke situ untuk mempelajari al-Quran selain dirawat untuk pengambilan dadah dan penyakit lain.
Daura terletak 70 kilometer (45 batu) dari ibu negeri dan berhampiran sempadan dengan Niger merupakan kampung halaman Presiden Muhammadu Buhari.
Pelajar dari pelbagai bahagian Nigeria termasuk Katsina dan negeri jirannya.
Menurut Buba, pelajar yang didera itu diperlaku dengan keadaan tidak beperikemanusiaan dengan beberapa pelajar mendedahkan mereka telah dihina oleh guru.
Polis akan berhubung dengan kerajaan negeri untuk membela nasib remaja lelaki berkenaan dan menghubungi keluarga mereka untuk pulang semula ke rumah.
Buba berjanji untuk menangkap pemilik dan guru-guru sekolah berkenaan yang berjaya melarikan diri semasa serbuan tetapi akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Bulan lepas polis di Kaduna membebaskan lebih 300 pelajar lelaki dari sekolah asrama yang turut merantai, menyeksa dan mendera penghuninya secara seksual.
Kadar penggunaan dadah yang tinggi dan kurang kemudahan pemulihan di Nigeria utara memaksa ibu bapa mendaftarkan anak mereka di sekolah Islam reformasi yang tidak formal di mana mereka didera dengan tidak berperikemanusiaan. – AFP, 15 Oktober, 2019.
Komen