JABATAN Perbendaharaan Amerika Syarikat mengenakan sekatan punitif terhadap menteri pertahanan Turki dan dua lagi menteri pada Isnin sebagai tindak balas ke atas serangan tentera Ankara di utara Syria.
Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar, Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu dan Menteri Tenaga Fatih Donmez diletakkan dalam senarai sekatan Jabatan Perbendaharaan AS.
Ini bermakna aset mereka di AS dibeku dan sebarang urusan negara dengan tiga menteri itu disekat.
“Kerajaan AS berpegang bahawa kerajaan Turki bertanggungjawab atas keganasan tenteranya, membahayakan orang awam dan menjejaskan kestabilan rantau itu,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin.
Ia diumumkan selepas Presiden Donald Trump mengisytihar sekatan dengan alasan tindakan Turki adalah ancaman luar biasa terhadap AS.
“Dengan ini saya mengisytiharkan darurat kebangsaan untuk menangangi ancaman tersebut,” kata Trump dalam pengisytiharan itu.
Trump turut mengarahkan individu yang disekat dilarang masuk ke AS. – AFP, 15 Oktober, 2019.
Komen