UNIVERSITI Malaya (UM) telah membuat laporan polis berhubung protes solo seorang siswazah yang menjerit meminta peletakan jawatan Naib Canselor Abdul Rahim Hashim ketika menerima ijazahnya pada majlis konvokesyen hujung minggu lalu.
Lulusan kejuruteraan awam Wong Yan Ke yang juga seorang aktivis pelajar telah menjerit sambil memegang plakad menyatakan alasan mengapa Abdul Rahim mesti meletakkan jawatan.
Salah satu sebabnya adalah “mempromosikan perkauman dan kebencian” kerana Abdul Rahim telah membuat ucapan perkauman pada Kongres Maruah Melayu awal bulan ini.
Wong memegang kertas dan menjerit “Tolak Rasis” dan “Undur VC” pada majlis konvokesyen hujung minggu lalu.
“UM mengutuk tindakannya yang tidak menunjukkan rasa hormat terhadap upacara konvokesyen dan gangguan terhadap protokol. Ia juga telah mencemarkan nama UM, graduan dan seluruh komuniti UM.
“Tindakannya yang dilakukan pada acara rasmi di khalayak ramai adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“UM telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata universiti itu dalam satu kenyataan hari ini. – 15 Oktober, 2019.
MENYUSUL
Komen