SEORANG anggota polis kulit putih di Texas didakwa atas kesalahan membunuh selepas menembak mati seorang wanita kulit hitam yang sedang bermain permainan video bersama anak saudaranya.
Polis berkata awal pagi Sabtu lalu Aaron Dean menembak Atatiana Jefferson, 28, ketika wanita itu menghampiri tingkap untuk memeriksa bunyi bising di luar rumahnya di Fort Worth.
Insiden itu berlaku kurang dua minggu selepas seorang anggota polis wanita kulit putih dihukum penjara kerana membunuh seorang lelaki kulit hitam di Dallas. Kejadian itu mencetus kemarahan di Amerika Syarikat (AS) dan menyemarakkan pergerakan “Black Lives Matter”.
“Hari ini hari yang menyedihkan kita semua. Atatiana seorang wanita cantik, bijak dan dikagumi semua. Dia dirampas dari keluarganya,” kata Datuk Bandar Fort Worth, Betsy Price pada sidang media.
Beliau berkata satu panel bebas akan menyiasat kejadian tersebut.
“Sebagai seorang ibu nenek, kaka dan ibu saudara, sukar untuk saya bayangkan ini, dan saya sangat simpati,” tambahnya.
Ketua polis Fort Worth, Ed Kraus berjanji pihaknya akan menjalankan menyiasat dengan telus.
“Saya mulanya bercadang mahu berjumpanya (Dean) hari ini dan memecatnya dari Jabatan Polis Fort Worth. Bagaimanapun, dia sudah meletak jawatan pagi ini,” kata Kraus. – AFP, 15 Oktober, 2019.
Komen